Angkatan perang Pemberontakan_Arab

Tentera Arab

Bendera pemberontakan Arab (Kerajaan Hijaz)

Dianggarkan kekuatan angkatan Arab berjumlah seramai 5,000 orang. [6] Bilangan ini mungkin merujuk kepada tentera tetap Arab yang berjuang bersama tentara utama Edmund Allenby, dan Faisal. Jumlah ini bertambah besar pada beberapa ketika, khusunya semasa kempen terakhir di Syria. Ramai orang Arab menyertai Pemberontakan secara sekali-sekala dan tidak berterusan. Mereka menyertai tentera semasa kempen berjalan atau hanya apabila pertempuran berlaku di dalam wilayah mereka.[7] Dalam sergapan Aqaba misalnya, sementara bilangan asal tentera Arab hanya beberapa ratus, lebih seribu oenag lagi daripada suku-suku tempatan menyertai serangan terakhir terhadap Aqaba.

Anggaran kekuatan tentera Hussein berbeza-beza, tetapi sepanjang tahun 1918 sekurang-kurangnya, kekuatan angkatan Faisal dianggarkan seramai 30,000 orang. Tentera Hashim terdiri daripada dua angkatan berlainan: tentera tidak tetap daripada suku-suku kaum Arab yang menjalankan peperangan gerila menentang tentera Uthmaniyyah dan Tentera Sharif, yang direkrut daripada tahanan perang Arab tentera Turki, dan menjalakan peperangan konvensional.[8] Pada waktu awal pemberontakan, angkatan Hussein terdiri daripada ahli suku kaum Badwi dan suku-suku nomad lain, yang bersekutu secara longgar dan lebih taat kepada kabilah masing-masing daripada tujuan utama perang.[9] Badwi tidak akan berjuang jika tidak dibayar terlebih dahulu dengan syiling emas,[10] dan pada penghujung tahun 1916, pihak Perancis membelanjakan 1.25 juta franc untuk membiaya pemberontakan,[9] dan sehingga September 1918, pihak British membelanjakan sebanyak £ 220,000/sebulan sebagai pembiayaan pemberontakan.[9]

Faisal menaruh harapan dapat meyakinkan tentera Arab yang berkhidmat dalam angkatan tentera Turki mendahagi dan menyertai perjuangannya, tetapi kerajaan Turki telah menghantar kebanyakan tentera Arabnya ke barisan hadapan peperangan, justeru hanya segelintir pendahagi menyertai angkatan Arab sehinggalah tempoh kemudian kempen.[11] Pada awalnya tentera Hashim tidak memiliki kelengkapan yang mencukupi, tetapi kemudiannya dibekalkan senjata yang banyak, terutamanya raifal dan mesingan, dari Britan dan Perancis.[12]

Tentera Uthmaniyyah

Tentera Uthmaniyyah di Timur Tengah, 1915

Tentera Uthmaniyyah di Hijaz berjumlah 20, 000 orang sehingga tahun 1917.[11] Semasa pemberontakan bermula dalam bulan Jun 1916, Kor ke-VII Tentera ke-4 Tentera Darat Uthmaniyyah disetesenkan di Hijaz dan disertai oleh Divisyen ke-58 Infantri yang diperintah Leftenan Kolonel Ali Necib Pasha, Kuvvie- Mürettebe ("Pasukan Sementara") diketuai Mehmed Cemal Pasha, yang bertanggung jawab menjaga jalan kereta api Hijaz dan Hicaz Kuvvei Seferiyesi ("Pasukan Ekspedisi Hijaz") di bawah pemerintahan Jeneral Fakhri Pasha.[11] Kuvvie- Mürettebe Kedua ditubuhkan pada tahun 1917 oleh sebab serangan yang semakin bertambah.[11] Pasukan Uthmaniyyah termasuk beberapa ketumbukan Arab yang masih taat kepada Sultan-Khalifah dan bertempur dengan berani menentang Angkatan Bersekutu.[11] Tentera Uthmaniyyah pada awalnya memiliki kelebihan berbanding tentera Hashim kerana mereka dibekalkan secukupnya dengan senjata Jerman.[11] Tambahan pula, angkatan Uthmaniyyah mendapat sokongan tentera udara Uthmaniyyah, skuadron udara dari Jerman dan angkatan separa tentera (gendarmerie) Uthmaniyyah.[13] Lebih lagi, pihak Uthmaniyyah bergantung pada sokongan Ibn Rashid, Raja Ha'il dan kaumnya yang menguasai apa yang kini utara Arab Saudi dan yang mengikat kedua-dua tentera Hashim dan Saud dengan ancaman menjalankan serangan ke atas mereka.[14] Kelemahan ketara angkatan Uthmaniyyah ialah mereka berada di penghujung talian perhubungan yang panjang dan tidak berapa kukuh dalam bentuk jalan kereta api Hijaz. Oleh sebab kelemahan logistik ini, mereka sering kali terpaksa bertempur secara defensif ataupun secara bertahan.[11] Serangan Uthmaniyyah ke atas tentera Hashim sering kali gagal lebih oleh sebab masalah bekalan daripada tindakan musuh.[11]

Sumbangan utama Pemberontakan Arab kepada peperangan [Perang Dunia Pertama] ialah memerangkap berpuluhan ribu anggota tentera Uthmaniyyah yang jika tidak kerananya dapat digunakan untuk menyerang Terusan Suez. Ini membolehkan pihak British menjalankan operasi ofensif tanpa menghadapi risiko serangan balas oleh pihak Uthmaniyyah. Sesungguhnya inilah alasan British mencetuskan pemberontakan – satu contoh klasik peperangan tak simetri.